Dalam pengajian kita sering mengulangkaji sesuatu subjek agar ingatan  kembali jelas dan peperiksaan dapat dilalui dengan cemerlang. Apa kata  pada ruangan kali ini kita melakukan satu ulangkaji, ulangkaji terhadap  satu subjek yang kita belajar semasa zaman tadika atau fasa awal sekolah  rendah.Kita mengulangkaji agar amalan kita sentiasa jelas dan  kita lulus dalam peperiksaan di hari akhirat kelak. 
Subjek itu ialah wudhu’, yakni cara-cara mengambil wudhu’. Bagi  ulangkaji ini, saya akan gunakan hadis berikut yang diriwayatkan oleh  Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, hadis no: 164:
“Bahawasanya Utsman bin ‘Affan meminta dibawakan sebuah bekas air  untuk dia berwudhu. Lalu dia menuangkan air itu ke telapak tangannya dan  mencuci kedua-duanya tiga kali. Kemudian dia memasukkan tangan kanannya  ke dalam bekas air itu (untuk menciduk air untuk dia) berkumur-kumur  sambil memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar. Kemudian  dia membasuh mukanya tiga kali dan kedua tangannya hingga siku tiga  kali. Kemudian dia mengusap kepalanya dan membasuh kedua-dua kakinya  tiga kali.
Kemudian dia berkata: “Aku melihat Nabi SAW berwudhu’ sepertimana wudhu’  aku ini, lalu baginda bersabda: “Sesiapa yang berwudhu’ sepertimana  wudhu’ aku ini lalu dia solat dua rakaat tanpa menyibukkan dirinya dalam  melakukan dua rakaat itu, maka Allah akan mengampunkan baginya  dosa-dosanya yang telah lalu.”
Berdasarkan hadis di atas dapat kita ambil beberapa pelajaran penting  berkenaan amalan wudhu’, iaitu:
Pertama: Bekas air yang digunakan untuk berwudhu’ hanyalah  bersaiz kecil. Dalam sebuah hadis lain diterangkan bahawa Rasulullah SAW  lazimnya berwudhu’ sebanyak satu “mud” air. [Shahih al-Bukhari, no:  201] Satu “mud” air ialah air yang dapat ditakung dengan kedua-dua  telapak tangan orang lelaki bersaiz sederhana yang diletakkan bersama.  Ia menyamai kuantiti air sebuah botol air mineral bersaiz kecil  (600-700ml). Para ilmuan menyatakan satu “mud” bukanlah batas maksima  penggunaan air wudhu’, tetapi menunjukkan sifat hemah penggunaan air  oleh Rasulullah SAW. Jumlah ini hendaklah sama-sama kita renungi dalam  suasana berwudhu’ masa kini yang menggunakan air paip yang mengalir  deras, di mana jumlahnya jauh lebih banyak dari satu “mud”.
Kedua: Setelah membasuh kedua-dua telapak tangan, tangan kanan  dimasukkan ke dalam bekas air untuk menciduk air bagi basuhan  seterusnya. Nampaknya telah berlaku percampuran air, di antara air yang  tersisa di telapak tangan setelah pembasuhan dan air yang berada di  dalam bekas. Ini merupakan salah satu dari sekian banyak bukti bahawa  syarat air mustakmal tidak berasal dari sunnah Rasulullah SAW. Air  mustakmal bererti air yang telah digunakan untuk membasuh sesuatu  anggota wudhu’, di mana ia tidak boleh digunakan semula oleh orang yang  berwudhu. Syarat air mustakmal yang masyhur diajar hanya merupakan  syarat yang dibuat-buat. Ia menyukarkan amalan wudhu’, membazirkan air  dan tidak memiliki dalil kukuh dalam agama.
Ketiga: Para ilmuan berbeza pendapat hukum memasukkan air ke  dalam hidung dan menghembusnya keluar ketika wudhu’, apakah ia sunat  atau wajib? Di sebalik perbezaan ini, yang utama ialah kita memasukkan  air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar kerana ia merupakan sunnah  yang mulia lagi menghasilkan pahala. Tidak ketinggalan, ia adalah  praktik yang dapat membersihkan rongga hidung kita.
Keempat: Membasuh anggota wudhu’ sebanyak tiga kali merupakan  jumlah maksimum. Jika dirujuk kepada hadis-hadis sahih yang lain,  diterangkan bahawa Rasulullah SAW pernah membasuh anggota wudhu’ sekali,  dua kali dan tiga kali. Semuanya bergantung kepada kadar penyebaran air  dan pembasuhan. Jika anggota wudhu’ dapat disebarkan air ke atasnya dan  dibasuh dengan lengkap, maka sekali sudah mencukupi. Tidak semestinya  ia dilengkapkan kepada tiga kali. Jangan melebihi tiga kali kerana ia  hanyalah was-was bisikan syaitan dan kezaliman ke atas diri sendiri.  Rasulullah SAW mengingatkan: “Inilah wudhu’, sesiapa yang menambahnya  maka dia berbuat keburukan, melampaui batas dan zalim”. [Shahih Sunan  Ibn Majah, no: 422]
Kelima: Semua anggota wudhu dibasuh sekali atau dua kali atau  tiga kali kecuali kepala, ia diusap hanya sekali. Para ilmuan sekali  lagi berbeza pendapat, apakah kepala diusap keseluruhannya atau cukup  sebahagian atau cukup minimum tiga helai rambut? Di sebalik perbezaan  ini, yang utama ialah mengusap keseluruhan kepala kerana itulah amalan  Rasulullah SAW. Cara mengusap ialah menggunakan ruang di antara ibu jari  dan jari telunjuk, basahkannya dan usap kepala dari hadapan ke  belakang, dari belakang ke hadapan semula.
Ketahuilah bahawa telinga termasuk sebahagian dari kepala, maka setelah  mengusap dari belakang ke hadapan, kedua-dua jari tangan kanan dan kiri  terus mengusap telinga kanan dan kiri. Tidak perlu menciduk air atau  membasahkan tangan semula.
Bagi para muslimat yang memakai tudung dan memiliki kesukaran untuk  membuka dan memakainya kembali, Islam memberi kemudahan untuk mereka  mengusap di atas tudung sahaja. Mereka tidak perlu membukanya untuk  mengusap rambut sepertimana di atas. [Shahih Fiqh al-Sunnah, jld. 1, ms.  238-239]
Keenam: Selesai berwudhu sebagaimana Rasulullah berwudhu’,  dianjurkan mendirikan solat sunat dua rakaat. Solat ini memiliki  ganjaran yang besar kerana ia menghapuskan semua dosa-dosa yang telah  lalu. Selain itu Rasulullah SAW juga pernah mendengar bunyi kasut tukang  azannya – Bilal – di dalam syurga, lalu ditanya kepada Bilal apakah  amalan khusus yang dilakukannya? Bilal menerangkan bahawa beliau  mendirikan solat sunat selepas wudhu’ hampir setiap kali selepas  berwudhu’. [Shahih al-Bukhari, no: 1149] 
dipetik dari Hafiz  Firdaus
Twitter
Facebook
RSS
0 comments:
Post a Comment