8/5/12

Syaitan diikat Tetapi Maksiat Masih dibuat??

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
 إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ 
Ertinya: “Jika datang bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai Syaitan-syaitan“. [HR Muslim, Al-Nasai, Ahmad, Malik]

Banyak dalam kalangan kita akan tertanya-tanya jika benar Syaitan sudah dirantai kenapa masih ada maksiat dan kejahatan yang berlaku?

Maka dalam menjawab persoalan ini berikut penjelasan para Ulama berkenaannya:

Kata Imam al-Qurtubi r.h sebagaimana yang dinukil oleh Imam al-Sayuti rahimahullah dalam Hasyiah beliau atas Sunan al-Nasai:
أَنَّهَا إِنَّمَا تُغَلُّ عَنِ الصَّائِمِينَ الصَّوْمَ الَّذِي حُوفِظَ عَلَى شُرُوطِهِ وَرُوعِيَتْ آدَابُهُ أَوِ الْمُصَفَّدُ بَعْضُ الشَّيَاطِينِ وَهُمُ الْمَرَدَةُ لَا كُلُّهُمْ وَالْمَقْصُودُ تَقْلِيلُ الشُّرُورِ مِنْهُمْ فِيهِ وَهَذَا أَمْرٌ مَحْسُوسٌ فَإِنَّ وُقُوعَ ذَلِكَ فِيهِ أَقَلُّ مِنْ غَيْرِهِ إِذْ لَا يَلْزَمُ مِنْ تَصْفِيدِ جَمِيعِهِمْ أَنْ لَا يَقَعَ شَرٌّ وَلَا مَعْصِيَةٌ لِأَنَّ لِذَلِكَ أَسْبَابًا غَيْرَ الشَّيَاطِينِ كَالنُّفُوسِ الْخَبِيثَةِ والعادات القبيحة وَالشَّيَاطِين الانسية
Maksudnya: “Bahawa ianya (yakni Syaitan) diikat daripada (mengganggu) orang-orang yang berpuasa dengan puasa yang terjaga syarat-syaratnya dan diraikan padanya adab-adabnya atau yang dirantai itu sebahagian Syaitan iaitulah yang ‘ganas’ daripada mereka bukan semuanya dengan tujuan mengurangkan kejahatan daripada mereka.

Perkara ini (mengurangkan kejahatan) adalah sesuatu yang dirasai kerana berlakunya kejahatan padanya (Ramadan) adalah kurang berbanding pada selainnya. Demikian juga tidak semestinya jika diikat semua mereka (syaitan) tidak akan berlaku kejahatan dan maksiat kerana bagi berlaku kejahatan itu sebab-sebab yang bukan datang daripada Syaitan seperti jiwa yang jahat dan adat kelakuan yang buruk dan syaitan-syaitan manusia”. [Hasyiah Sayuti 'ala Sunan al-Nasai, 4/128-129].

Kata Imam Nuruddin al-Sindi r.h:
وَلَا يُنَافِيهِ وُقُوع الْمعاصِي إِذْ يَكْفِي فِي وجود الْمعاصِي شرارة النَّفس وخباثتها وَلَا يلْزم ان تكون كل مَعْصِيّة بِوَاسِطَة شَيْطَان والا لَكَانَ لكل شَيْطَان شَيْطَان ويتسلسل وَأَيْضًا مَعْلُوم أَنه مَا سبق إِبْلِيس شَيْطَان آخر فمعصيته مَا كَانَت الا من قبل نَفسه وَالله تَعَالَى أعلم
 Maksudnya: “dan perkara ini (diikatnya Syaitan) tidak menafikan berlakunya maksiat kerana cukuplah untuk adanya maksiat itu kejahatan nafsu dan tidak semestinya semua kemaksiatan itu berlaku dengan perantara syaitan kerana jika tidak tentulah bagi setiap syaitan akan ada syaitan lain pula (untuk menghasutnya) dan akan berterusan (yakni: perlu pula bagi syaitan itu syaitan yang lain lagi dan seterusnya dan ini mustahil –pent-) demikian juga diketahui bahawa tidak ada sesiapa pun yang mendahului Iblis daripada syaitan maka maksiatnya (Iblis) tidaklah berlaku melainkan daripada dirinya sendiri wallahua’lam”. [Hasyiah al-Sindi 'ala Sunan al-Nasai, 4/126-127].

Mudah-mudahan jawapan-jawapan ini memberikan pencerahan dan menjawab persoalan yang terbuku dalam jiwa sebahagian kita.

Walaupun ada sebahagian Ulama mentafsirkan hadis ini dengan makna majaz namun yang kuat dan sesuai dengan usul Ahlus Sunnah wal Jamaah yang asal, bahawa nas-nas wahyu hendaklah dibawa pada makna hakikat dan zahirnya selagi mana tidak ada dalil yang lain mengalihkannya dan dalam konteks hadis ini tidak ada dalil yang kuat mengalihkannya dari makna zahir dan membawa hadis ini atas makna zahir bukanlah sesuatu yang mustahil. Wallahua’lam.



Oleh: Ustaz Muhammad Asrie bin Sobri

1 comments:

Anonymous said...

UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT

Post a Comment